Rahsia Bisnes Orang Cina
Masyarakat Cina sememangnya begitu
terkenal dengan kehebatan mereka dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
Bukan hanya masyarakat Cina di negara kita, malah boleh dikatakan hampir di
seluruh dunia kita dapat melihat masyarakat Cina memonopoli bidang perniagaan.
Produk-produk yang terdapat di pasaran hari ini juga kebanyakkannya datang dari
negara Tembok Besar itu termasuklah barang-barang keperluan rumah, tekstil dan
pakaian, serta peralatan-peralatan IT terkini. Mereka juga mampu untuk
menjadikan sesuatu perniagaan yang bermula hanya dengan kecil-kecilan menjadi
lebih maju dan luas. Pendek kata, keistimewaan kaum Cina ini adalah daripada
aspek strategi mereka menjalankan perniagaan tersebut. Hal ini turut menjadikan
kaum Cina dipandang begitu tinggi kerana mereka mempunyai kemahiran yang
tersendiri dalam menjalankan sesuatu perniagaan yang mereka ceburi.
Apabila dikaji secara mendalam, apa
yang dapat dirumuskan adalah kemahiran dalam perniagaan atau bisnes bukanlah
suatu keistimewaan yang hanya boleh didapati bagi sesuatu kaum. Tetapi
kemahiran tersebut sememangnya boleh dipelajari.
Pegangan Masyarakat Cina dalam
Perniagaan
Masyarakat Cina mempunyai pegangan yang
tersendiri dalam usaha memajukan perniagaan mereka. Pegangan mereka ini begitu
kuat sehingga mereka akan cuba melaksanakan segala apa yang termampu untuk
mendapatkan hasil yang lebih baik dalam bisnes yang dijalankan. Berikut
merupakan tujuh pegangan masyarakat Cina dalam aspek bisnes atau perniagaan :
1.
Rajin,
jika tidak berniaga akan menjadi malas
2.
Jimat,
jika tidak akan membazir modal
3.
Senyuman
dengan pelanggan, jika tidak pelanggan akan lari
4.
Kejar
masa, jika tidak peluang akan diambil orang
5.
Harga
berpatutan, sekiranya tidak mungkin akan menimbulkan pergaduhan
6.
Membenarkan
hutang hanya dengan orang yang dikenali, jika tidak modal akan hilang
7.
Semak
akaun setiap hari untuk pastikan modal bagi hari esokKetujuh-tujuh ini juga
merupakan peribahasa masyarakat Cina tentang perniagaan dan bisnes. Sekiranya
kita meneliti ketujuh-tujuh aspek ini, dapat disimpulkan bahawa sikap menjadi
kunci utama kejayaan mereka dalam perniagaan. Sikap yang baik, tekun dan gigih
merupakan asas kepada rahsia kejayaan mereka selama ini.
Perniagaan Adalah Satu Seni
Apa yang lebih menarik lagi, masyarakat
Cina turut menganggap bisnes merupakan satu seni. Memetik satu falsafah
masyarakat Cina yang berbunyi, ‘dunia perniagaan penuh dengan sepak
terajangnya. Oleh itu peniaga perlu mempersiapkan dirinya dengan seni kungfu
perniagaan bagi menghadapi sebarang bentuk serangan dan kemungkinan mendatang.’
Falsafah ini begitu popular dalam kalangan mereka. Mereka turut menyamakan
perniagaan atau bisnes dengan seni kungfu yang digunakan untuk mempertahankan
diri. Mengapa? Dunia bisnes memerlukan kita untuk bersedia bagi menghadapi
segala rintangan dan masalah yang tidak dijangka. Begitu juga dengan seni
kungfu. Mempelajari seni kungfu adalah bertujuan untuk mempersiapkan diri bagi
menghadapi sebarang bentuk ancaman yang mendatang. Maka, daripada sinilah
timbulnya istilah seni bisnes atau seni perniagaan bagi masyarakat Cina.
Terdapat beberapa tip penting yang membahaskan tentang seni perniagaan
masyarakat Cina, anataranya ialah :
§ Seni berniaga adalah cukup halus dan
tidak memadai mempelajarimya secara teori sahaja. Berniaga perlu praktikal dan
menuntut seseorang supaya selalu bersikap fleksibel.
§ Peniaga perlu bersikap ringan tulang,
ramah serta menjadikan pelanggan sebagai saudara rapat atau sebagai seorang
sahabat.
§ Seseorang peniaga perlu mempunyai daya
ketahanan yang tinggi, mental yang kuat dan jiwa yang teguh dengan pendirian.
Untuk menjadi seseorang yang berjaya
dalam perniagaan dan bisnes, mereka selalunya tidak kedekut untuk mengeluarkan
perbelanjaan asalkan dapat menarik dan meyakinkan hati pelanggan. Bagi mereka,
pelanggan yang akan membantu mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan yang
sedang diusahakan. Antara petua yang mereka selalu amalkan dalam perniagaan
adalah ‘menjadi peniaga yang mudah dipercayai, mudah berurusan dan tidak
cerewet.’ Disebabkan petua ini juga, mereka begitu gigih dan bersungguh-sungguh
untuk menarik hati pelanggan dan menjaga pelanggan yang sedia ada dengan
sebaik-baiknya. Bagi mereka juga, dalam perniagaan perlu ada nilai-nilai
kemanusiaan, elemen kebajikan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan
peniaga adalah diibaratkan seperti hamba yang berkhidmat kepada tuannya.
Selain itu, masyarakat Cina turut
menekankan beberapa ciri-ciri seorang peniaga yang perlu ada dalam diri mereka.
Bisnes atau perniagaan tidak akan menjadi satu seni sekiranya ciri-ciri ini
tidak ada dalam diri mereka. Antara ciri-ciri tersebut adalah
§ Sabar
§ Tidak mudah putus asa
§ Pandai merebut peluang
§ Mempunyai perhubungan awam yang baik
§ Berpandangan jauh
§ Berpegang pada janji
§ Berupaya meyakinkan pelanggan semasa
menguruskan perniagaan
§ Memiliki daya tahan dan semangat juang
yang tinggi
§ Tidak suka menunggu kerana peluang
tidak pernah menunggu mereka
Ciri-ciri ini perlu ada dalam diri
setiap peniaga yang ingin memastikan perniagaan mereka dapat berkembang maju.
Apa yang disenaraikan ini juga adalah merupakan satu jalan yang boleh diguna
pakai dalam strategi seseorang peniaga untuk menarik lebih banyak kepercayaan
dan keyakinan para pelanggan terhadap bisnes yang dijalankan. Apabila pelanggan
semakin ramai, maka sudah tentu untung yang lebih besar juga turut menanti.
Konsep Berniaga yang Diamalkan oleh
Kaum Cina
Kaum Cina mensasarkan matlamat dan
tujuan tertentu dalam perniagaan mereka. Bagi memastikan matlamat mereka
tercapai, mereka akan saling bantu-mambantu antara satu sama lain khususnya
sesama masyarakat Cina. Konsep perniagaan orang Cina adalah berasaskan prinsip
simbiosis iaitu mereka sebagai peniaga saling lengkap melengkapi antara satu
sama lain. Contoh, sekiranya ada peniaga Cina yang menjual barangan runcit,
maka peniaga Cina yang lain akan menjual barangan basah seperti ikan, daging
dan ayam serta barangan keperluan yang lain. Mereka turut bijak mengambil
peluang dengan membuka restoran di kawasan tersebut dan akan mendapatkan
barang-barang keperluan untuk memasak daripada kedai-kedai yang telah sedia ada
di sekitar kawasan tersebut. Secara tidak langsung, peluang yang mereka ambil
ini akan menjadikan perniagaan di kawasan tersebut berkembang kerana adanya
sokongan yang kuat dalam kalangan peniaga di kawasan tersebut. Apabila hal ini
terjadi, perniagaan masing-masing akan lebih mudah berkembang dan tidak mudah
untuk gulung tikar.
Terdapat satu fakta menarik tentang
konsep perniagaan orang Cina yang perlu kita ketahui. Suku Hailam merupakan
suku terakhir yang masuk ke Tanah Melayu satu ketika dahulu. Apabila mereka
sampai, mereka melihat banyak bidang perniagaan yang sudah diterokai oleh
suku-suku Cina yang datang lebih awal. Maka mereka menceburkan diri dengan
mengambil peluang membuka kedai kopi yang mana ketika itu belum diterokai
secara meluas oleh suku-suku Cina yang lain. Mereka turut mempelbagaikan menu
mereka dengan memperkenalkan roti bakar dan nasi ayam Hainan. Akhirnya,
perniagaan ini kekal sehingga ke hari ini dan semakin meluas dari hari ke hari.
Dalam satu kajian terhadap sebuah buku
yang bertajuk Rahsia Bisnes Orang Cina hasil karya Ann Wan Seng ada menyatakan
bahawa masyarakat Cina tidak memandang rendah kepada mana-mana orang yang gagal
dalam perniagaan dan mereka memandang tinggi kepada sesiapa yang hendak
berusaha dan selalu memberi galakan serta peluang kepada sesiapa yang mahu
melibatkan diri dalam perniagaan. Ini membuktikan, bahawa mereka langsung tidak
mengenal erti putus asa dan erti kegagalan dalam bisnes yang dijalankan
sebaliknya hanya memandang kehadapan tanpa menoleh lagi kebelakang. Maka tidak
hairanlah pada hari ini kita dapat melihat lapangan perniagaan di negara kita
majoriti besar dikuasai oleh masyarakat Cina.
Tokoh Usahawan Cina di Malaysia
1.0 Robert Kuok
Di negara kita, terdapat ramai
tokoh-tokoh bisnes yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Cina. Jumlah
mereka mungkin boleh mencecah sehingga ratusan atau ribuan orang. Antara tokoh
bisnes daripada kaum Cina yang terkenal di Malaysia ialah Robert Kuok merupakan
seorang tokoh peniaga daripada masyarakat Cina yang lahir di Johor Bahru pada 6
Oktober 1923 dan memiliki anak seramai 8 orang. Beliau juga merupakan antara
jutawan yang memiliki aset berbilion ringgit hasil daripada usaha gigihnya
membangunkan perusahaan gula di Malaysia. Beliau juga turut diberi gelaran
‘Raja Gula Asia’. Beliau sangat bijak mengambil peluang kerana mampu menjana
keuntungan yang besar hanya dengan menghasilkan pengeluaran gula untuk negara.
Selain itu, beliau turut menjawat
jawatan sebagai Pengerusi Shangri-La Hotel dan Resort Chain. Apa yang dapat
disimpulkan, beliau tidak mengecapi kejayaan seperti yang beliau miliki pada
hari ini dengan mudah. Banyak pengorbanan dan modal yang perlu dikeluarkan
untuk beliau membangunkan perusahaan gula sehingga boleh bertahan sampai ke
hari ini. Nama beliau juga turut tersenarai antara individu terkaya di rantau
Asia.
2.0 Mendiang Lim Goh Tong
Mendiang Lim Goh Tong yang merupakan
seorang usahawan Tionghua terkaya di Malaysia dan Asia pada tahun 2005 sehingga
beliau meniggal dunia. Beliau memiliki aset berjumlah sehingga 421.60 bilion
ringgit Malaysia. Beliau juga merupakan Pengasas dan Prseiden seumur hidup
kumpulan Genting. Selain memiliki hotel, beliau turut mempunyai kasino yang
dikunjungi 14 juta orang dalam setahun serta memiliki aset-aset mewah yang
lain. Dalam satu catatan sejarah menyatakan bahawa beliau datang ke Malaysia
dari Fujian China ketika berumur 19 tahun dan hanya membawa wang berjumlah
RM175 sebelum berkerja dan membina syarikat sendiri iaitu Kien Huat.
Usaha gigih beliau dan idea yang kreatif
telah membuatkan beliau berhasrat untuk mendirikan Genting sebagai sebuah
tempat perlancongan di Malaysia. Hasilnya, Genting Highlands masih menjadi
tumpuan pelancong dari serata dunia walaupun kini beliau telah pergi
selama-lamanya.
Kedua-dua tokoh ini merupakan antara
contoh usahawan masyarakat Cina yang berjaya membina empayar perniagaan yang
begitu berpengaruh selain membuktikan pada semua bahawa setiap kejayaan yang
ingin dikecapi perlu melalui usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa. Sememangnya
peniaga-peniaga atau usahawan-usahawan Cina mempunyai taktik dan startegi
tersendiri. Namun semua itu dilihat sebagai satu seni dalam perniagaan. Etika
masyarakat Cina juga turut membenarkan penggunaan startegi masing-masing
asalkan tidak mendatangkan kemudaratan kepada peniaga dan pelanggan.
Sebaik-baiknya biarlah strategi tersebut mendatangkan keuntungan kepada
kedua-dua belah pihak. Pendek kata, peniaga-peniaga Cina mempunyai daya
kreativiti yang tinggi selain bijak mencuri peluang yang ada dihadapan mata.
Peluang akan digunakan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan keuntungan yang
besar boleh dicapai dan kejayaan hanya akan diperoleh sekiranya mereka
mempunyai sikap yang rajin, tekun dan tidak mudah mengalah sekiranya menghadapi
kegagalan. Maka, wajar bagi msyarakat lain di negara ini untuk mencontohi sikap
kaum Cina dalam usaha mereka menjalankan perniagaan.
No comments:
Post a Comment